Sapian Sapari

Truly, Sincerely Me
Ads

Kehidupan dalam kubur dan kehidupan di dunia…

Penderitaan dalam kubur, tiada mayat atau jasad yang dapat bangkit kembali untuk mengisahkan kepada yang hidup. Roh pula yang berada di alam barzakh pula, kurang pasti, apakah sebenarnya alam penantian itu. Namun, adakah kita dapat rasakan sedikit atau sebahagian pengalaman dalam dunia yang penuh sepi itu? Dalam kubur, apakah sebenarnya yang boleh kita bayangkan?

Siksa kubur itu memanglah kita tidak boleh pertikaikan kerana setiap orang yang beriman, tentu yakin, tentang wujudnya soal jawab yang dilakukan oleh tubuh badan kita. Mata, kaki dan tangan yang akan menjawab segala amalan dan tubuh badanlah yang akan menjadi saksi tentang segala baik dan buruk yang dilakukan kita.

Yang ingin saya tekankan, adalah hikmah kesunyian yang kita alami di dunia ini. Seperti di kubur, alam barzakh dan padang masyar, kita semua menghadapi nasib yang berbeza-beza. Kita renungkan dalam kehidupan kita, yang sering kali bergantung kepada orang lain. Sering kali kita mengharapkan bantuan dan pertolongan orang lain, sehingga kita tidak dapat bergerak kadang kalanya. Adakah sesiapa dapat membantu kita di alam kubur itu nanti?

Banyak kali dalam kehidupan kita, kita pernah mengalami kesunyian. Ada masa-masa yang kita harapkan ia sebenarnya mimpi tapi bukan. Ada banyak kali kita harapkan ada orang yang dapat menghulurkan bantuan kerana kita dapat kesusahan tapi tiada sesiapa yang ingin atau boleh membantu kita. Mungkin peristiwa-peristiwa yang pahit itu, menyebabkan kita marah dengan orang lain kerana tidak membantu kita bila kita memerlukan pertolongan mereka. Seandainya kita renungkan, banyak hikmahnya. Allah sengaja menduga kita. Kita tidak terlalu lemah apabila kita berkeluarga atau beramai-ramai dengan orang lain namun beberapa kali dalam kehidupan kita, tiada ibu, isteri, suami, anak-anak mahupun teman-teman yang berada di sebelah kita, kita akan terlupa yang kita ni insan yang sangat lemah. Kita keseorangan sebenarnya.

Sebagai contoh yang mudah: Anda membeli-belah dengan banyaknya, demi kemudahan dan kesenangan untuk keluarga anda. Anda membeli berbeg-beg banyaknya barangan keperluan rumah seperti 10kg beras, 5kg minyak makan, susu-susu dalam tin, makanan dalam tin, ayam, susu dan banyak lagi barang-barangan yang sebenarnya, adalah buat semua orang lain, iaitu, ahli anggota keluarga anda. Apabila turunnya dari teksi, anda sedar yang anda tidak mampu untuk mengangat kesemua barangan yang telah dibeli. Anda keseorangan. Tiada jiran, tiada teman, tiada ahli keluarga mahupun manusia lain disekeliling anda. Tiada siapa pula yang mengangkat panggilan talipon anda yang merayu, meminta bantuan. Anda keseorangan. Tempuhilah sendiri.

Contoh yang kedua: Anda tertinggal kunci di rumah. Setelah berbalik-balik anda turun dan naik dari kolong blok anda untuk menghantar beg-beg plastik dan barangan yang dibeli dari pasar tadi, anda tidak dapat memasuki rumah anda. Anda menyesali kesilapan tertinggalnya kunci anda. Sekali lagi, tiada sesiapa yang boleh membantu anda, kerana anda masih berdiri dengan barangan yang banyak di luar rumah anda. Ayam mentah yang bakal rosak, makanan yang tertinggal dibawah kolong blok berkemungkinan dicuri orang, atau anda bakal terlepas solat waktu asar anda kerana gagal memasuki rumah anda. Anda keseorangan. Tiada siapa yang mendengar keluhan anda.

Contoh seterusnya: Segala pengorbanan anda sebenarnya adalah demi orang lain. Bertugas bertungkus lumus dan menampung kehidupan orang dibawah amanah dan tanggungjawab anda. Mulalah terfikir: “Semasa aku susah, tiada siapa yang membantu. Apabila aku menjerit, tiada siapa yang mendengar. Apabila aku senang, tidak pula aku membesar-besarkan diriku mahupun memuaskan diriku dengan setiap apa yang aku perolehi, malah, aku menghabiskan setiap hasilku untuk kesenangan mereka dibawah tanggungjawabku. Ya Allah, Kau saksikanlah, bahawa aku berkorban dan berjuang seorang diri. Demi menjalani perintahMu, untuk membela dan menjalankan amanahku terhadap ahli keluargaku. Dengan kesunyian yang aku alami di dunia ini, Kau permudahkanlah kehidupanku di akhirat nanti. Kau luaskanlah kuburku, kau hindari dan jauhkanlah aku daripada siksa kuburMu. Kau senangkanlah bagi ku segala yang susah di kuburMu Ya Allah.”

Sunyinya di dalam kubur, tentunya tidak sama. Namun, kesunyian yang kita alami ketika ini, mengingatkan kita, tentang sunyinya kita di kubur nanti, sepinya di alam barzakh nanti, bezanya kehidupan setiap insan di padang masyar nanti. Kepedihan dan kesusahan kita ketika ini, tiada siapa yang dapat membantu. Kita sebenarnya seorang diri. Kita sebenarnya kesunyian. Namun, Allah sentiasa bersama orang-orang yang beriman. Kita sentiasa dilihat, kita sentiasa dijaga. Kita terlupa. Syaitan dengan sengajanya mengapi-apikan kita bila kita diduga dengan kesunyian.

Sesama manusia, kita sebenarnya sunyi. Dengan Tuhan yang telah menciptakan kita, sebenarnya, kita tidak pernah sepi.

Waulahu alam.

Zan Sofiyan (Sapian Sapari)

Post Metadata

Date
March 5th, 2012

Author
admin

Category

Tags

Leave a Reply