Sapian Sapari

Truly, Sincerely Me
Ads

Pengacara Majlis mengutamakan ADAT, ADAB dan PATUH SYARIAH. InsyaAllah!

Walimah urus, Majlis Persandingan, merupakan hak milik ibu bapa pengantin. Itulah kekata yang sering diulang-ulang berkali-kali ketika bertemu dengan keluarga dan bakal mempelai itu sendiri sebelum melafaskan akad menerima saya selaku wakil mak bapak pengantin dalam pengacaraan walimah yang bakal diadakan. Jadi, apakah kedudukan pengantin itu sendiri, sedangkan rata-ratanya masa kini, mempelailah yang membayar perkhidmatan DJ pengantin dan hiburan?

Zan sering menjadi wakil atau istilah “wedding host” atau pengacara majlis persandingan. Mewakili ibubapa pengantin merupakan satu amanah berat yang tidak boleh dipandang mudah.

Pengantin yang telah selamat dinikahkan, merupakan raja sehari jika menurut adat dan budaya Melayu. Namun, jika walimatulurus itu kepunyaan ibubapa, hak milik pengantin atau pasangan yang baru sahaja mendirikan rumah tangga, mempunyai hak perkahwinan. Istilah Ingeris yang sering saya ucapkan kerana ramai anak muda Singapura yang perlu dialih-bahasakan, “The wedding belongs to your parents and the marriage is yours.” Ini dapat dibuktikan dalam kad undangan yang menyebut nama ibubapa dahulu, yang mengundang tetamu ke majlis persandingan anakanda mereka.

Kita sering melihat ramai pasangan anak muda yang mengecualikan ibubapa dalam perancangan Walimah Urus ini atas sebab, “Aku yang keluar duit apa?”, “it is my bloody wedding! I do as I wish!” ataupun, “Jangan kolotlah. Itukan cara orang dulu-dulu buat kerja kawin atau majlis kawin. Sekarang lain beb!”

Dah terlalu banyak majlis persandingan atau walimah urus ini sudah rosak akibat mengikutkan pandangan kawan, perancangan barat, peniaga-peniaga yang ingin meraih keuntungan tanpa memikirkan tentang keberkahan walimah yang bersangkut paut dengan agama. Sedihnya pula, ibubapa kini tidak boleh meluahkan pandangan mereka atau turut ikut merancang atas sebab, anak-anak yang menyimpan dan membelanjakan segala hal ehwal walimah itu. Jika dibandingkan dengan masa dahulu, ibubapa yang menguruskan segala hal ehwal majlis persandingan, yang turut dibantu oleh adik-beradik kedua-dua belah pihak ibubapa pengantin. Tidak menghairankan jika jiran tentangga turut menghulurkan sumbangan tenaga dan sumbangan keperluan majlis. Itulah, bergotong royong.

Pada pasangan muda yang terlalu rapat dengan teman-teman, kita dapat lihat, mereka turut terlibat dalam perancangan dan secara tidak langsung, mempengaruhi sepenuhnya, apa yang sepatutnya dilakukan pada majlis tersebut. Walimah urus yang kemudiannya menjadi ala-ala acara hiburan seperti Dinner & Dance ataupun Birthday Parties, Club Night dan yang lain-lain, disebabkan terlalu berpengaruh barat. Itu lah fesyen, tren dan wedding of the modern age. Tentunya, teman yang baik, adalah teman yang akan menerangkan apakah walimah yang sebenarnya.

Memang sukar untuk mengadakan majlis menurut Sunnah dan Para Sahabat. Namun, lebih mudah untuk meniru dan mengembirakan orang ramai. Dari itu kita dapat lihat, bertambah-tambahnya kerosakan majlis dari masa ke masa. Mula-mula abaikan keluarga, kemudiannya, mengabaikan perintah. Peringatan yang sering kita dengar, “Tak dapat buat semua, jangan tinggal satu” namun kini, bertukar menjadi, “Dari buat satu je, puas hati jangan buat” mungkin tercetus daripada peribahasa, “Alang-alang seluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan” yang membawa maksud, dah terlanjur melakukan kejahatan, biar buat leibh jahat.

Sebagai DJ atau lebih tepat lagi, pengacara majlis yang menyediakan khidmat hiburan dan pengumuman, haruslah tahu, itulah satu-satunya kesan yang sangat besar kepada sesuatu majlis. Sedangkan ibubapa sendiri yang sibuk menerima dan menyambut tetamu, tidak mempunyai microphone untuk meluahkan kata-kata “selamat datang” atau “terima kasih”. Maka itu, teramatlah penting bagi pengacara meminta izin menjadi wakil kepada mak bapak pengantin, yang melafaskan kata-kata baik kepada para tetamu dan bukan sibuk mencari peluang menunjukkan bakat menyanyi karaoke mereka yang sangat-sangat tidak dihargai para tetamu.

Oleh kerana dulu tidak lagi seperti sekarang, banyak tanggung jawabnya Pengacara Walimah. Kita sebagai tetamu apabila sampai ke tempat majlis, kita tidak lagi disambut dengan ramah tamah oleh adik beradik pengantin, disuruh duduk, dijemput makan, atau dilayan dengan mesra. Kerana apa? Ibubapa sedang berjaga di pintu keluar atau gerbang keluar untuk menukar sampul duit dengan cenderamata atau bunga telur. Kawan-kawan pengantin pula, yang tidak tahu adab atau adat, duduk di gerbang pintu masuk, bersiap sedia menyuruh anak muda meninggalkan tanda tangan dan ucapan ringkas secara tulisan di Guest Book mereka. Bagi warga tua seperti Pakcik Makcik dan Datuk Nenek, tidak pula disambut seperti dulu lagi, kerana mungkin tiada yang mengajar dan memberitahu mereka bagaimana caranya.

Tidak semua adat budaya Melayu itu betul dan baik disisi syariah Islam. Namun, banyak hikmahnya juga. Tentunya, yang melanggar syariah kita buang, seperti telek cukur anak rambut dan telek daun sirih, tetapi adat mendahulukan orang tua dan menghormati mereka merupakan sesuatu yang diajar. Banyak ibubapa yang terkilan kerana tidak dapat menganjurkan majlis kahwin seperti yang mereka menghendaki. Ada yang sampai menitiskan airmata dalam penentuan siapa yang boleh dijemput dan siapa yang tidak. Ibunya diberi kad senbanyak 100 kad sahaja dan si pengantin ingin menjemput lebih dari 1000 orang teman-temannya. Ibubapa kecewa tetapi harus menelan kesedihan itu kerana tidak mahu menghampakan anaknya. Walau saudaramara dan teman-teman kampung bertanyakan kenapa mereka tidak diundang, si ibu ini akan mengatakan, “Oh, kita buat kecil-kecilan saja”. Ternyata pada hari tersebut, kawan-kawan yang diundang seramai 1000 orang itu, tidak pun hadir sepenuhnya. Namun, saudara-maranyalah, yang tidak diundang, yang hadir.

Pengacara menpunyai suara kerana memegang microphone. Ucapkanlah selamat datang apabila melihat ada tetamu yang baru sahaja sampai. Undanglah mereka untuk duduk dan pelawalah mereka untuk mengambil makanan yang disediakan secara buffet. Kenalkan pada para tetamu siapa yang kawin. Sebelah perempuan ataupun lelaki. Yang paling penting, perkenalkanlah, mak bapak pengantin, “Yang berpakaian baju Melayu warna merah bersongkok putih dan bersamping putih, itulah bapa pengantin perempuan kita, Encik Haji Abdul Wahid bin Hussein namanya….” dan sebagainya. Ini perlu dilakukan agar para tetamu tidak tertanya-tanya, “Siapa mak bapak pengantin? Mana dia? Nak salam siapa eh?”

Berbaliklah kepada orang tua kita. Malunya, mereka yang mengabaikan mak bapak mereka dalam walimah urus, akhirnya bercerai berai, dan pandai pula mereka mencari ibu bapa mereka kelak.

Waulahu alam.

Sapian Sapari @ Zan Sofiyan

Pengacara Majlis Perkahwinan Anda.

KlikĀ Pengacara Majlis oleh Medialite

Leave a Reply